MEMULIAKAN Keluarga Suami

_COMPLEX COMMUNITY_{UNIQUE NEWS CENTER at home and abroad}

Salah satu faktor utama yang boleh mewujudkan kebahagiaan bagi seseorang suami ialah apabila dia melihat isterinya pandai memuliakan dan menghormati orang tuanya, sanak saudara atau para tetamunya. Isteri hendaklah menganggap bahawa keluarga suami adalah keluarganya juga, sebagaimana dia menganggap dirinya adalah anak dan saudara mereka.

Dengan akhlak sedemikian, isteri pada hakikatnya telah ikut serta menegakkan bakti seorang suami terhadap kedua orang tuanya. ia turut menjadi faktor melimpahnya curahan rahmat dan pahala yang agung yang telah Allah SWT janjikan kepada keduanya. Rumah tangga mereka sentiasa di penuhi dengan ruh ta'awun dan ukhuwah ( jiwa kerjasama dan persaudaraan ), yang dihiasi pula taburan bunga cinta dan kasih sayang.

Sebaliknya, apabila seorang isteri berlaku buruk terhadap keluarga suaminya, khasnya terhadap kedua orang tua dan saudara iparnya, maka perkara ini boleh menjadi sumber bencana dan malapetaka bagi suami malah kepada dirinya sendiri, sama ada di dunia mahu pun di akhirat kelak. Kerana perangai yang buruk tersebut boleh menempatkan suami pada posisi yang dilema ( serba salah ). Apabila dia bersikap baik kepada kedua orang tua dan saudarnya bererti dia telah membuat jarak dengan isterinya, namun apabila dia menjalinkan hubungan baik dengan isterinya bererti menjauhkan orang tuanya sendiri dan boleh memutus hubungan keluarga dengan mereka. Perkara ini merupakan aib yang cukup besar bagi seorang suami. Kedua sikap tersebut sama sahaja buruknya dan kesannya pun sama-sama negatif, iaitu mengencam keutuhan bangunan rumah tangga bahagia.

Demikianlah wahai wanita muslimah, apakah seorang isteri yang terhormat seperti anda rela untuk menjadi sumber bencana dan malapetaka bagi suami dan rumah tangga anda sendiri?! Mari kita sama-sama ikuti beberapa peringatan berikut ini.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: " Sungguh celaka, sungguh celaka, dan sungguh celaka seseorang yang menyaksikan masa tua kedua orang tuanya atau salah satu daripadanya sedangkan dia tidak masuk kedalam syurga." (HR, Muslim).

Aisyah r.a pula berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Si Rahim bergantung di Arasy seraya berkata: 'Barang siapa menyambungku maka Allah akan menyambungnya, dan barang siapa yang memutuskanku nescaya Allah akan memutuskan hubungannya." (Muttafaqun Alaihi).

Cukup banyak jumlah hadis-hadis yang bekaitan dengan perkara ini. Cubalah renungkan. Layakkah seorang isteri yang sangat mencintai suaminya dengan rela hati menjerumuskan suaminya ke dalam jurang malapetaka yang menghancurkan?!

Adalah kewajiban bagi anda wahai wanita muslimah, untuk meruruti jejak langkah para salaf mukminah yang solehah (wanita-wanita solehah di kurun terawal selepas kewafatan Rasulullah SAW). Mereka menjalani kehidupan dengan penuh sikap bijak dan lemah lembut serta sabar menghadapi setiap cubaan. Anda tidak perlu membalas sesuatu kesalahan dengan kesalahan yang serupa, akan tetapi anda hendaklah selalu berusaha untuk mencari jalan pemecahannya dengan sikap yang bijak dan hati yang tenang. Apalagi jika anda seorang wanita yang terpelajar yang banyak memiliki pengetahuan agama, sedangkan yang anda hadapi itu ialah mereka yang belum banyak memahami persoalan dan memiliki ilmu agama yang masih cetek. Wallahua'lam...

Comments